30 November 2012

KPOT dalam Utusan Malaysia 29 November 2012

Rencana mengenai pengaktifan otak tengah dan KPOT telah disiarkan di dalam sisipan Mega, akhbar Utusan Malaysia bertarikh Khamis 29 November 2012. Terima kasih Pn. Mariatul Qatiah atas rencana yang menarik dan informatif.


Pengaktifan Otak Tengah

PERCAYA atau tidak seorang kanak-kanak yang matanya yang ditutup rapat dengan sehelai kain hitam mampu menghabiskan tugasan mewarna dengan begitu cantik sekali? Malah untuk membuktikan bahawa kain hitam yang menutupi mata mereka tidak jarang atau boleh dilihat melaluinya, sehelai kertas tisu dilapikkan pula antara mata dan kain hitam tersebut.

INI untuk membuktikan bahawa mereka (kanak-kanak) tidak menipu dan segala tugasan yang diberikan sama ada mewarna, mengenal warna ataupun mengenal pelbagai objek mampu dikenal pasti seperti mana ketika mata mereka terbuka.
Begitupun untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan mata tertutup bukanlah satu tugasan yang mudah.
Ini kerana tanpa mengaktifkan otak tengah  agak mustahil untuk dilaksanakan.
Menurut Pengarah Mind Secret Enterprise, Sawiah Omar, otak tengah sebenarnya berperanan sebagai jambatan bagi kedua-dua otak kiri dan kanan.
Katanya lagi, otak tengah itu mempunyai lebih 300 juta saraf, tetapi pada tahap usia tertentu otak tengah akan tidur sekiranya tidak diaktifkan.
“Kita sebenarnya tidak pernah didedahkan dengan otak tengah, malah tidak dinafikan hari ini kita hanya mengetahui akan kewujudan otak kiri dan kanan.
“Tetapi sebenarnya selain otak kiri dan kanan kita mempunyai otak tengah di mana ia akan tidur sekiranya tidak diaktifkan.
“Setelah otak tengah diaktifkan ia akan terus aktif dan  dengan ini secara tidak langsung ia bagus untuk perkembangan sahsiah diri,” ujarnya ketika ditemui pada Kursus Pengaktifan Otak Tengah (KPOT) yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berbicara lanjut mengenai hal tersebut, ulas Sawiah, menyedari akan pelbagai perkara yang bermanfaat dapat dilakukan daripada pengaktifan otak tengah, pihaknya dengan kerjasama NHA Management and Consultant telah menganjurkan kelas bagi kanak-kanak yang berumur antara enam hingga 12 tahun.
Dikendali dan diselia oleh mereka yang berpengalaman, ternyata kursus yang hanya mengambil masa  satu setengah hari itu mampu mengubah pandangan para peserta terhadap kemampuan mereka menggunakan kelebihan otak tengah.
Ternyata apa yang diberitahu benar belaka kerana saya sendiri berpeluang melihat bagaimana para peserta kanak-kanak  itu mampu melukis, mengenal warna, mengenal objek malah membaca nombor-nombor dengan begitu lancar  biarpun dengan mata yang tertutup.
Apabila ditanya mengenai modul pembelajaran yang diajar kepada para peserta, ujar Sawiah, pihaknya mengajar beberapa teknik pengaktifan otak tengah yang melibatkan fokus pendengaran dan penglihatan, kecekapan mewarna, dan juga ujian IQ.
“Sebenarnya kita perlu mengetahui bahawa dalam diri setiap individu mempunyai tujuh aura yang tidak diketahui. Aura ini  akan lebih berkesan kepada kanak-kanak yang berumur antara enam hingga 12 tahun.
“Kerana pada usia  ini dianggap sesuai untuk mengaktifkan otak tengah di samping mudah untuk mereka menyerap segala pembelajaran yang diberikan.
“Begitupun setiap individu kelebihan mereka  adalah berbeza tetapi Insya-Allah dengan menghadiri kursus ini walaupun tidak semua, sekurang-kurangnya para peserta mampu membawa pulang sedikit ilmu yang diajar.
“Tetapi perlu diingatkan latihan ini perlu berterusan sehingga 30 hari untuk otak tengah menjadi aktif berterusan.
“Pastinya, sebaik sahaja tamat kursus para peserta akan menjadi seorang yang lebih fokus, pintar, penyayang, punya keyakinan diri yang tinggi, kreatif, bersikap positif dan emosi yang lebih stabil,” katanya.
Yang pasti kebolehan setiap peserta kanak-kanak yang menyertai kursus ini adalah dilihat sesuatu yang menakjubkan serta di luar jangkaan dan hanya boleh dinilai sekiranya anda sendiri mengalami  dan melihat sendiri keadaan bagaimana menggunakan kelebihan mengaktifkan otak tengah ini.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus ini boleh hubungi Hainie di talian 019-6558141 atau layari www.nhamindsecret.blogspot.com.
 - MARIATUL QATIAH ZAKARIA